Sunday, November 28, 2010

Gastropod Trias Tengah (Anisian) dari Aring, Kelantan


Fosil gastropod Neritaria involuta Koken dari Muschelkalk,Trias Tengah (Anisian), Jerman


Fosil gastropod Neritaria involuta Koken dari Formasi Telong, Trias Tengah (Anisian), Aring, Kelantan. Penemuan terbaru di Malaysia dalam Zon Batuan Trias Barat. Ditemui secara kokuina yang bersekutuan rapat dengan fauna Myophoria (sensu lato), petunjuk kepada pengenapan di persekitaran laut cetek.


Monday, November 1, 2010

Sejarah dan perkembangan skala masa Trias


Batuan Trias mula dikaji oleh Ahli Geologi Jerman pada lewat tahun 1700an lagi. Friedrich August von Alberti (1795-1878) adalah pengasas kepada kajian batuan Trias yang mengkaji singkapan jujukan batuan setebal 1km yang tersingkap di bahagian baratdaya Jerman. Beliau membahagikan strata batuan tersebut kepada tiga 'formasi' iaitu Bunten Sandsteins, Muschelkalk dan Keuper. Alberti juga telah mengenalpasti batuan Trias dari luar negara Jerman termasuklah seluruh Eropah, Asia, Amerika Utara, Afrika dan Amerika Selatan.

Pada tahun 1895, ahli geologi Austria, Edmund von Mojsisovics (1839-1907) dibantu oleh Wilhem Waagen dan Carl Diener telah membina pembahagian skala masa Trias berdasarkan biostratigrafi ammonoid dan telah memperkenalkan kronostratigrafi Trias yang masih digunapakai sehingga ke hari ini. Beliau juga bertanggungjawab dalam menamakan dan memperkenalkan spesies-spesies ammonoid Trias. Ketika ini skala ini sering mengalami penambahbaikan terutamanya dari kajian-kajian oleh ahli geologi Kanada, E. Timothy Tozer (1928-). Skala ini juga dibangunkan bersama kajian biostratigrafi konodon.

Skala kronostratigrafi Trias mempunyai tiga siri (tiada perbahasan) dan tujuh peringkat ( sering diperbahaskan). Setiap batas dalam skala ini adalah ditetapkan berdasarkan tempat atau bahagian stratoype global (Global stratotype sections and points) dari beberapa negara yang dipersetujui oleh 'Subcommission on Triassic Stratigraphy,STS'; satu badan dalam IUGS International Commission on Stratigraphy.Penetapan kronostratigrafi bagi 15 subperingkat dalam skala masa Trias masih digunapakai walaupun berbagai isu dalam biostratigrafi masih belum diselesaikan.

Penetapan batas bagi peringkat-peringkat dalam skala masa Trias adalah berdasarkan;

  1. Dasar Peringkat Induan (=dasar Trias, = batas Trias Bawah) ditetapkan oleh kewujudan terakhir (LO) konodon Hindeodus parvus di Guangxi, selatan China.
  2. Dasar Peringkat Olenekian mungkin ditetapkan oleh LO bagi konodon Neospathodus waageni di Spiti, India- masih dalam perbahasan.
  3. Dasar Peringkat Anisian (=batas Trias Tengah) mungkin ditetapkan oleh LO konodon Chiosella timorensis di Desli Caira, Romania.
  4. Dasar Peringkat Ladinian ditetapkan oleh LO ammonoid Eoprotrachyceras curioni di Bagolino, Itali.
  5. Dasar Peringkay Karnian (batas Trias Atas) mungkin ditetapkan oleh LO ammonoid Daxatina canadensis di Stures Wiesen, Itali.
  6. Dasar Peringkat Norian mungkin ditetapkan ditetapkan oleh konodon dalam zon ammonoid Stikinoceras kerri, berpandukan dasar Norian di Amerika Utara; masih hangat diperbahaskan.
  7. Dasar eringkat Rhaethian ditetapkan oleh LO konodon Misikella posthernsteini di Steinbergkogel, Austria.
  8. Dasar peringkat Hettangian (=batas Jura, =batas Jura Bawah) ditetapkan oleh LO ammonoid Psiloceras spelae di Kuhjoch, Austria.
Kebanyakan penetapan bagi dasar-dasar bagi 15 subtahap masih kekurangan data formal. Masalah utama yang dihadapi adalah kurangnya ahli-ahli geologi yang mengkaji bidang ini.