Monday, March 29, 2010

Singkapan batuan berfosil, Lipis: Part 2





Antara sampel-sampel batuan dari lapisan Batupasir Myophoria yang kaya dengan fosil bivalvia terutamanya dari spesies Costatoria yang terkandung dalam batu lumpur di antara perlapisan batu pasir. Tidak ditemui lagi sebarang fosil ammonoid yang penting dalam menentukan usia geologi, mungkin kerana persekitaran pengenapan adalah di marin cetek yang tidak sesuai utk ammonoid hidup. Himpunan yang sama yang ditemui di QZ480 didapati berassosiasi dengan ammonoid berusia Anisian tengah, Trias Tengah. Turutan batuan di QZ480 mungkin merupakan kesinambungan dari singkapan batuan dari Cegar Perah, B. Kaling, Bahau dan Jurong, Singapura yang lebih dikenali sebagai lapisan Batupasir Myophoria (Cox, 1900). Cox, Kobayashi dan Tamura memberikan usia Trias Atas bagi Batupasir Myophoria ini.

Thursday, March 25, 2010

Singkapan batuan berfosil, Lipis: Part 1


Tapak cadangan untuk pembinaan perumahan Taman Emas, tidak jauh dari simpang masuk ke Bandar K. Lipis. Penulis berkesempatan lagi meluangkan masa selama 1 jam untuk mencari fosil di kawasan berkenaan. Cuaca panas terik dan dahaga bukanlah halangan kerana kesempatan sebegini jarang diperolehi oleh penulis.



Kawasan ini mempunyai banyak ketulan batuan bersaiz tongkol dan ada di antaranya kaya dengan fosil bivalvia.

Perubahan fasies batuan antara fasies berargilit (kanan) dan fasies berarenit. Fasies berarenit terdiri daripada 2 unit batuan iaitu batu pasir dan batu pasir berpebel.

Unit batu pasir menindih unit batu pasir berpebel.


Konglomerat denan klasta-klasta terdiri daripada butiran quartza hampir terbundar.

Sunday, March 21, 2010

Fosil tumbuhan (Gelanggi Flora) part 1


Fosil ranting daun Cladophlebis sp. yang ditemui di Kota Gelanggi, Jerantut dalam Formasi Kerum yang juga sebahagian dari Flora Gelanggi. Antara fosil tumbuhan lain yang boleh ditemui adalah Neocalamites sp., Ginkgo sp., Otozamites sp., Equisetum sp. dan Taeniopteris sp. Usia fosil ini adalah dianggarkan berusia Trias lewat-Jura awal.


Satu sampel batu lumpur yang mempunyai fosil tumbuhan Cladophlebis sp. dan Ginkgo sp.


Monday, March 15, 2010

Artikel: Daonella dari Aring, Kelantan

Penemuan bivalvia Daonella pahangensis Kobayashi berusia Trias Tengah dari Aring, Kelantan
The Discovery of Middle Triassic bivalve Daonella pahangensis Kobayashi from Aring, Kelantan

Wednesday, March 3, 2010

Daxatina? dari Yong Peng, Johor


Fosil ammonoid ini telah dijumpai di Kg. Lam Lee, Pekan Yong Peng, Johor oleh Lee B.H. (1996) yang dimuatkan dalam tesis Ijazah Sarjana Muda UKM beliau. Unit batuan dikelaskan dalam Formasi Gemas yang setara dengan Formasi Semantan. Di kawasan yang sama, Sato (1964) telah melaporkan penemuan ammonoid Trachyceras (Paratrachyceras) cf. T. (P). regoledanus (sekarang dikenali sebagai Frankites regoledanus) yang menurutnya berusia Karnian.

Dari penelitian penulis didapati bahawa spesimen lebih menyerupai ammonoid dari genus Daxatina, spesies indek bagi Longorbardian, Ladinian akhir Trias Tengah. Ini adalah kerana terdapatnya benjolan (tubercles) di sepanjang garis rusuk. Benjolan yang berulangan pada garis-garis rusuk dirujuk sebagai benjolan berpilin (tubercle-spirals). Spesies Frankites tidak mempunyai benjolan berpilin malah licin di sepanjang garis rusuknya. Daxatina pula hampir menyerupai Trachyceras. Dari gambar ini spesimen lebih menyerupai Trachyceras aon. Kedua-dua spesies ini dapat dibezakan melalui garis sutura dan bentuk pada ventrel cengkerang. Daxatina bergaris sutura seratitik manakala Trachyceras pula bergaris sutura ammonitik. Berdasarkan keadaan pengawetan fosil, adalah sukar untuk membezakan kedua-dua spesies tetapi lebih hampir kepada Daxatina kerana ia dijumpai di kawasan sama yang mempunyai Frankites yang berusia Ladinian, Trias Tengah. Secara biostratigrafi spesies-spesies Trachyceras adalah berusia Karnian, Trias Lewat.

Adalah menarik untuk mengkaji dengan lebih lanjut mengenai kewujudan ammonoid di kawasan ini kerana;
  1. Lebih banyak sampel fosil ammonoid diperlukan terutama yang mempamerkan garis sutura untuk menentusahkan spesies ammonoid tersebut samada Daxatina atau Trachyceras.
  2. Menentukan wujudnya 3 sempadan biostratigrafi di kawasan tersebut, ammonoid-ammonoid di kawasan tersebut mungkin tergolong dalam Subzon Regoledanus dan Subzon Daxatina yang berusia Ladinian, Trias Tengah serta Subzon Aon yang berusia Karnian, Trias Lewat. Log biostratigrafi lapisan demi lapisan diperlukan bagi tujuan ini bagi mendapatkan turutan ammonoid dalam strata batuan.
  3. Sempadan Trias Tengah dengan Trias Lewat dapat ditentukan.
Turutan biostratigrafi adalah seperti berikut;
Subzon Regoledanus --> Subzon Daxatina (Ladinian, Trias Tengah) --> Subzon Aon (Karnian, Trias Lewat).

Tuesday, March 2, 2010

Himpunan Daonella dari Mentakab, Pahang


Kawasan penemuan adalah di kawasan Ladang Kelapa Sawit Jentar, Mentakab, Pahang.


Acuan luaran (kiri) dan acuan dalaman (kanan) fosil Daonella Pahangensis Kobayashi. Bersaiz amat besar dari kumpulan Daonella yang lain serta bersifat endemik.


Himpunan Daonella yang membentuk pemadatan cengkerang (concentration shell).


Dari segi morfologi, Daonella ini menyerupai Daonella sakawana tetapi keadaan pengawetan yang buruk menyukarkan pengenalpasti yang tepat.

Pemilik blog ini mengucapkan ribuan terima kasih kepada kakitangan JMG Pahang terutamanya kepada En. Junor, En. Amie dan En. Nazalan serta En. Hasan Saru (kini di JMG Johor) atas pengantaran spesimen-spesimen fosil yang dijumpai di Ladang Jentar, Mentakab, Pahang. Saya telah cuba untuk sampai ke lokasi tersebut , tetapi tidak berjaya sampai (kurang 1 km shj) disebabkan hanya pacuan 4 roda sahaja yang boleh sampai ke lokasi tersebut. Perlapisan tersebut sememangnya kaya dengan fosil Daonella. Dua spesies Daonella dapat dikenalpasti iaitu Daonella pahangensis dan Daonella lomelli dan biasa kedapatan pada usia Ladinian, Trias Tengah. Kerjakerja berkenaan penemuan fosil tersebut sedang diusahakan. Kajian lebih tertumpu kepada pencarian fosil ammonoid utk menentukan usia himpunan fosil ini dengan lebih tepat.

Kawasan Mentakab sememangnya terkenal dikalangan ahli paleontologi sebagai kawasan yang banyak terdapatnya singkapan batuan berfosil Trias. Di kawasan ini juga Formasi Semantan mendapat namanya yang telah diperkenalkan oleh Jaafar Ahmad (1976). Menurut Kobayashi (1964), Procter banyak menemui fosil Daonella di kawasan tersebut dan telah mengenalpasti empat spesies Daonella. Hanya ammonoid Arpadites ditemui di kawasan tersebut, lebih banyak usaha perlu dilakukan untuk mencari fosil ammonoid.