Wednesday, March 3, 2010

Daxatina? dari Yong Peng, Johor


Fosil ammonoid ini telah dijumpai di Kg. Lam Lee, Pekan Yong Peng, Johor oleh Lee B.H. (1996) yang dimuatkan dalam tesis Ijazah Sarjana Muda UKM beliau. Unit batuan dikelaskan dalam Formasi Gemas yang setara dengan Formasi Semantan. Di kawasan yang sama, Sato (1964) telah melaporkan penemuan ammonoid Trachyceras (Paratrachyceras) cf. T. (P). regoledanus (sekarang dikenali sebagai Frankites regoledanus) yang menurutnya berusia Karnian.

Dari penelitian penulis didapati bahawa spesimen lebih menyerupai ammonoid dari genus Daxatina, spesies indek bagi Longorbardian, Ladinian akhir Trias Tengah. Ini adalah kerana terdapatnya benjolan (tubercles) di sepanjang garis rusuk. Benjolan yang berulangan pada garis-garis rusuk dirujuk sebagai benjolan berpilin (tubercle-spirals). Spesies Frankites tidak mempunyai benjolan berpilin malah licin di sepanjang garis rusuknya. Daxatina pula hampir menyerupai Trachyceras. Dari gambar ini spesimen lebih menyerupai Trachyceras aon. Kedua-dua spesies ini dapat dibezakan melalui garis sutura dan bentuk pada ventrel cengkerang. Daxatina bergaris sutura seratitik manakala Trachyceras pula bergaris sutura ammonitik. Berdasarkan keadaan pengawetan fosil, adalah sukar untuk membezakan kedua-dua spesies tetapi lebih hampir kepada Daxatina kerana ia dijumpai di kawasan sama yang mempunyai Frankites yang berusia Ladinian, Trias Tengah. Secara biostratigrafi spesies-spesies Trachyceras adalah berusia Karnian, Trias Lewat.

Adalah menarik untuk mengkaji dengan lebih lanjut mengenai kewujudan ammonoid di kawasan ini kerana;
  1. Lebih banyak sampel fosil ammonoid diperlukan terutama yang mempamerkan garis sutura untuk menentusahkan spesies ammonoid tersebut samada Daxatina atau Trachyceras.
  2. Menentukan wujudnya 3 sempadan biostratigrafi di kawasan tersebut, ammonoid-ammonoid di kawasan tersebut mungkin tergolong dalam Subzon Regoledanus dan Subzon Daxatina yang berusia Ladinian, Trias Tengah serta Subzon Aon yang berusia Karnian, Trias Lewat. Log biostratigrafi lapisan demi lapisan diperlukan bagi tujuan ini bagi mendapatkan turutan ammonoid dalam strata batuan.
  3. Sempadan Trias Tengah dengan Trias Lewat dapat ditentukan.
Turutan biostratigrafi adalah seperti berikut;
Subzon Regoledanus --> Subzon Daxatina (Ladinian, Trias Tengah) --> Subzon Aon (Karnian, Trias Lewat).

No comments:

Post a Comment