Wednesday, August 25, 2010

Formasi Trias Malaysia - litologi, biofasies, korelasi dan kedudukan tektonostratigrafi

Semenanjung Malaysia mempunyai dua formasi Trias yang utama iaitu Formasi Semantan dan Formasi Kaling (diperkenalkan oleh Jaafar Ahmad, 1976) dan dua biofasies yang utama iaitu biofasies Daonella dan biofasies Myophoria (Kobayashi, 1966). Litologi bagi Formasi Semantan adalah terdiri daripada turutan syal berkarbon, batu lodak, tuff riolit dengan kekantan kecil rijang dan batu kapur. Persekitaran pengenapan adalah di persekitaran laut dalam dengan kegiatan volkanik yang aktif; disokong oleh kewujudan fauna ammonoid dan bivalvia bercengkerang nipis. Manakala bagi Formasi Kaling pula terdiri daripada batu pasir, kuartzite dengan sedikit konglomerat, syal dan riolit tuf. Persekitaran pengenapan adalah di persekitaran laut cetek ke laut dalam; disokong oleh kewujudan fauna bivalvia bercengkerang tebal, fosil tumbuhan dan ammonoid.

Fosil dalam batuan Formasi Semantan adalah mewakili biofasies Daonella manakala fosil dalam batuan Formasi Kaling pula mewakili biofasies Myophoria. Fosil Daonella dalam Formasi Semantan berassosiasi dengan ammonoid berusia Ladinian Akhir manakala fosil Myophoria dalam Formasi Kaling pula berassosia dengan ammonoid berusia Anisian Tengah dan Anisian Akhir.

Fauna Myophoria dalam Batu Pasir Myhophoria yang diperkenalkan Newton (1900) (berdasarkan penemuan fauna tersebut di Kuala Lipis) sebelum ini dianggarkan berusia Rhaetian, Trias Awal tetapi berdasarkan kajian terkini didapati bahawa fauna tersebut adalah berusia Anisian hingga Ladinian awal berdasarkan assosiasi dengan ammonoid Anisian seperti yang dilaporkan oleh Kummel (1960), Jaafar Ahmad (1976), Sato (1964) dan Ahmad Rosli & Mohd Shafeea (2008).

Dari segi korelasi berdasarkan kesamaan litologi dan taburan fosil , Formasi Semantan boleh dikorelasikan dengan Formasi Pha Kan dari Kumpulan Lampang di bahagian utara Thailand Formasi Manghuai di bahagian selantan China dan Formasi Na Khuat di bahagian utara Vietnam. Batuan dari Formasi Pha Kan mengandungi banyak bivalvia dan ammonoid berusia Ladinian-Karnian. Manakala Formasi Kaling pula adalah setara dengan Formasi Pha Kan Formasi juga dari Kumpulan Lampang, Formasi Shanglan di bahagian selatan China dan Formasi Diem He di bahagian utara Vietnam. Batuan Formasi ini diwakili oleh spesies-spesies Costatoria, sama seperti yang terdapat dalam Formasi Kaling di Malaysia.

Dari segi kedudukan tektonostratigrafi, Formasi Semantan/Formasi Pha Kan/ Formasi Manghui dan Formasi Kaling/Formasi Pha Kan/ Formasi Shanglan adalah terletak dalam Terain Sukhothai dalam blok Shan-Thai kepunyaan domain Cathaysian.


No comments:

Post a Comment