Monday, January 31, 2011

Panduan Paleontologi 1: Tatacara Penamaan (Open Nomenclature)

Tatacara penamaan adalah sangat penting dalam penentuan taksonomi oleh ahli-ahli paleontologi. Berbagai cara telah digunakan seperti cf., aff. dan ? yang merujuk kepada tahap ketidakpastian sering mengelirukan dan ini menyebabkan kesukaran dalam pemerihalan taksonomi. Kekeliruan ini mungkin juga menyebabkan ramai geologist tidak berminat untuk menceburkan diri dalam bidang Paleontologi. Berikut disenaraikan tatacara penamaan taksonomi tersebut yang sering digunakan dalam pemerihalan sistematik paleontologi;

Contoh: Frankites regoledanus (Mojsisovics)

Frankites - nama kumpulan genus, tulisan italik (herotan)
regoledanus - nama kumpulan spesies, tulisan italik (herotan)
(Mojsisovics) - nama pengarang asal yang memperkenalkan dan memerihalkan spesies tersebut. Jika dalam kurungan bermaksud spesies itu telah mengalami pengubahsuaian samada nama kumpulan spesies atau genus oleh pengarang lain. Nama asal spesies tersebut adalah Paratrachyceras regoledanus Mojsisovics.

aff. (atau n. sp., aff., atau sp. nov., aff.) - Bahan/spesimen adalah tidak menepati ciri-ciri asal spesis rujukan dan berkemungkinan adalah merupakan spesies baru yang sebelum ini belum pernah diperihalkan. Penggunaan aff. sahaja bermaksud bahawa spesimen jelas berbeza dengan spesis rujukan tetapi masih terangkum dalam variasi spesies rujukan tersebut. Frankites aff. regoledanus (Mojsisovics); bermakna spesimen itu adalah menyerupai Frankites regoledanus tetapi ciri-ciri morfologinya berbeza dengan Frankites regoledanus dan spesies Frankites yang lain.

cf. - menunjukan bahawa penentuan spesies spesimen adalah tidakpasti mungkin disebabkan oleh pengawetan spesimen yang buruk. Penetapan spesiesnya hanyalah untuk sementara sahaja. Digunakan selepas nama kumpulan spesies. Frankites cf. regoledanus (Mojsisovics); bermakna spesimen itu kita tidak pasti (mungkin pengawetan buruk atau cuma serpihan kecil) tetapi menyerupai Frankites regoledanus berbanding dengan spesies-spesies Frankites yang lain.

? - bermakna pengenalpastian adalah tidak pasti.

sp.- menunjukan bahawa pengenalpastian spesimen adalah mustahil; atau spesimen tidak dapat dikaitkan dengan mana-mana spesies atau pengenalpastian spesifik belum dibuat terhadap sesuatu spesimen. Digunakan pada nama kumpulan genus. Frankites sp.: bermakna kita tidak kaitkan dengan mana-mana spesies Frankites seperti Frankites regoledanus, F. apertus, F. sutherlandi atau F. hofmanni dan kita memerlukan kajian lebih lanjut.

'.....' - menunjukkan bahawa spesimen adalah genus baru (atau subgenus), tetapi bahan yang diperolehi tidak menepati untuk menegakkan/ menamakan genus baru. Digunakan pada nama kumpulan genus.

Dalam menghadapi ketidakpastian spesimen, penggunaan tanda '?' selepas nama kumpulan genus adalah memadai. Tetapi jika kita mempunyai 'tahap' keyakinan yang tinggi berdasarkan perbandingan spesimen dengan spesimen rujukan dan maklumat yang diperolehi, tanda cf. boleh digunakan.

Satu lagi tatacara penamaan taksonomi adalah penggunaan 'syntax'. Cara penggunaan yang betul adalah Frankites cf. regoledanus dan bukannya Frankites cf. F. regoledanus.

Penamaan taksonomi yang kita lakukan tersebut adalah bersifat 'benar pada ketika itu' dan mungkin akan dikaji semula atau dibuat perbandingan oleh pengkaji-pengkaji lain berdasarkan maklumat-maklumat terbaru atau penemuan-penemuan spesimen yang lebih sempurna. Oleh kerana itu ia dinamakan sebagai 'Open Nomenclature'. Dalam membuat perbandingan, spesimen kita akan dibandingkan dengan spesimen-spesimen lain (bagi spesies yang sama), sudah semestinya mempunyai tatacara tersendiri (Synonymy Lists). Penggunaannya akan dicatatkan dalam 'entry' yang akan datang.

Sebenarnya kajian bidang paleontologi tidaklah sesukar mana, cuma memerlukan ketekunan dan penelitian yang mendalam serta maklumat yang mencukupi, malah ia sebenarnya menyeronokkan. Penamaan taksonomi/taksa sememangnya tidak dapat dielakkan dalam kajian ini, namun jika faham dengan konsep dan tatacara penamaan, kajian kita akan menjadi lebih mudah.

2 comments:

  1. Salam.

    Interesting content, I'm following your blog...

    ReplyDelete
  2. apakah maksud tanda soal sblm genus?sama ke mksd dengan selepas genus? contoh ?Sulcilplica sp. tq

    ReplyDelete