Monday, October 6, 2008

Dunia Trias (251-199 juta tahun)



Trias telah dinamakan oleh Friedrich Von Alberti pada tahun 1834. Zaman Trias adalah yang pertama dari tiga bahagian era Mesozoik selain zaman Jura dan zaman Kapur. Zaman Trias juga dikenali sebagai zaman Reptilia atau ‘The Age of Reptiles’. Zaman ini berlangsung selama 52 juta tahun dari 251 ke 199 juta tahun lampau. Trias dinamakan bersempena turutan batuan 3 warna iaitu merah (lapisan-lapisan merah), putih (kapur) dan hitam (syal hitam) yang ditemui di Jerman.

Zaman Trias dibahagikan kepada Epok Awal, Tengah dan Lewat yang dirujuk kepada turutan batuan Bawah, Tengah atau Atas. Turutannya adalah seperti berikut;


Trias Atas/Lewat (Tr3)

Rhaethian (203.6 – 199.6)

Norian (216.5 – 203.6)

Karnian (228.0 – 216.5)

Trias Tengah (Tr2)

Ladinian (237.0 – 228.0)

Anisian (245.0 – 237.0)

Trias Bawah/Awal (Scythian)

Olenekian (249.7 – 245.0)

Induan (251.0 – 249.7)

PALEOGEOGRAFI

Bumi ketika itu hanya mempunyai satu kerak sahaja yang dinamakan sebagai Pangea ( “all the land”) dan pada awal Trias, Pangea ni mula terpisah dan hanyut kepada dua kerak lain dan proses pemisahannya masih berlangsung sehingga ke hari ini. Kerak besar ini pula dikelilingi oleh lautan yang luas dinamakan sebagai Panthalassa (“all the sea”). Amerika Utara, Eropah dan Asia membentuk kerak Laurasia manakala Amerika Selatan, Australia, India, Afrika dan Antartika pula membentuk Gondwanaland. Pemisahan dan penghayutan kerak besar yang masih berlangsung inilah yang membentuk daratan atau muka bumi yang dapat kita lihat sekarang ini. Kesemua sedimen lautan dalam yang terenap semasa Trias telah hilang melalui proses subduksi kerak lautan, oleh itu hanya sedikit sahaja enapan tersebut diketahui.

IKLIM

Secara umumnya pada Trias awal, iklim adalah panas dan kering membentuk lapisan batu pasir merah dan batuan pengewap (evaporites). Iklim ini menjadi lebih buruk semasa Trias Lewat di mana wujud aktiviti volkanik yang intensif yang meningkatkan paras karbon dioksida ke udara. Tiada bukti-bukti penglasieran pada kedua-dua kutub malah kawasan tersebut adalah lembap, iklim yang sesuai untuk haiwan seperti reptilia. Dengan lautannya luas dengan satu muka bumi yang terhad iaitu pangea menyebabkan ia kurang mempengaruhi iklim global tetapi wujud keadaan di mana musim panas dan musim sejuk yang melampau. Sebahagian besar bahagian Pangea adalah secara geologinya stabil dengan kurangnya aktiviti volkanik. Proses hakisan lebih giat berbanding pembentukan pergunungan. Partikel-partikel yang terhakis terutama dari kawasan-kawasan tanah tingginya berkumpul lalu terenap di kawasan- kawasan lembangan. Sesetengah lembangan tersebut membentuk mendapan lapisan merah batu pasir atau syal yang dipanggil lapisan-lapisan merah (red beds).


BENTUK HIDUPAN
Semasa Trias, organismanya boleh dikategorikan kepada 3 kumpulan iaitu hidupan berkelangsungan dari kepupusan Perm-Trias, kumpulan hidupan yang berkembang biak hingga sekarang dan kumpulan hidupan yang dominan sepanjang era Mesozoik. Zaman Trias menjadi radiasi adaptif iaitu pengisian nic ekologi yang kosong oleh spesies terevolusi yang terselamat dari detik kepupusan tersebut.

Fosil-fosil yang ditemui dalam batuan Trias mencadangkan ia adalah jangka masa peralihan di mana hidupan seperti tumbuhan dan haiwan yang hidup pada zaman terdahulu pupus dan bentuk baru kehidupan muncul pada zaman Trias. Lebih 90% spesies hidupan invertebrata marin, haiwan dan tumbuhan telah pupus pada detik kepupusan massa perm-Trias dan ia menjadi detik paling buruk dalam sejarah bumi. Saintis percaya bahawa kombinasi letusan gunung berapi, penyusutan global paras air laut, perubahan iklim dan kehilangan habitat haiwan semasa pembentukan Pangea mungkin menyumbang kepada kepupusan tersebut.

Zaman Trias menjadi detik penting bagi perkembangan hidupan tumbuh-tumbuhan. Konifer berkembang seiring dengan fern (paku-pakis), saikad, pohonan bebuluh ekor kuda (horsetail) dan spesies seperti fern berbenih. Tumbuhan Trias mempunyai lapisan berlilin (waxy) yang tebal dan tidak tumbuh tinggi seperti tumbuhan yang terdapat pada masa kini. Saintis percaya bahawa ini adalah untuk kesesuaian atau adaptasi tumbuhan tersebut terhadap iklim yang panas dan kering pada masa itu. Ia juga menyumbang kepada pembentukan gigi yang tumpul, besar dan bundar (untuk meragut, memotong dan mengunyah) terhadap haiwan-haiwan herbivor termasuklah dinasour-dinasour. Tumbuhan susulan yang dapat hidup hingga ke Trias termasuklah lycophytes, ginkgophyta dan glossopterid. Konifer dominan di hemisfera utara manakala Glossopteris pula dominan di hemisfera selatan.

Pada Lewat Trias, kira-kira 220 juta tahun dahulu, mamalia buat pertama kalinya telah muncul. Saintis percaya mamalia ini adalah terevolusi dari reptilia seperti mamalia iaitu Theriodontia. Reptilia telah bertambah dengan banyak semasa Trias. Manakala amfibia berkembang biak dengan baik semasa Triass terutama labyrinthodonts. Sesetengah spesies hidup di laut dan terevolusi kepada plesiosaurs (pemakan ikan) seperti ichthyosaurs. Kura-kura, katak, salamander dan cicak (ular) dan pterosaurs (reptilia terbang) juga telah mula muncul pada usia tersebut.

Moluska seperti ammonoid, siput dan perayap atau kerang (clams) telah mengantikan brakiopod sebagai invertebrat marin bercangkerang yang biasa kedapatan di lautan. Banyak famili brakiopod telah pupus begitu juga dengan kumpulan trilobit.

Dinasor pertama muncul pada Lewat Trias (The Age of Dinosours) termasuklah Eoraptor, Herrerasaurus, Staurikosaurus dan Coelopphysis. Pada penghujung zaman Trias, dinasor menjadi haiwan vertebrata daratan yang lebih dominan bersama pterosaurs dan buaya.


No comments:

Post a Comment