Monday, October 6, 2008

Kepentingan Fosil







Fosil adalah warisan hidupan purba dan hanya terdapat dalam batuan sedimen. Jenis fosil yang terawet bergantung kepada usia geologi batuan dan persekitaran di mana mereka dienapkan di mana mereka pernah hidup ketika itu. Dalam beberapa masa dalam sejarah bumi, kepupusan telah berlaku dan tersimpan sebagai rekod-rekod fosil. Rekod fosil adalah satu-satunya bukti tentang kewujudan hidupan di muka bumi lebih 3.6 billion tahun dahulu. Kajian dalam bidang geologi, evolusi, plat tektonik, astronomi, ekologi dan biologi tidak bermakna tanpa fosil. Fosil-fosil juga menunjukkan bagaimana fizikal bentuk muka bumi berubah sepanjang masa seterusnya kita boleh mengkaji kesan perubahan cuaca/iklim suatu ketika dahulu seterusnya ia sangat penting dalam penentuan kedudukan dan korelasi strata bumi, penafsiran keadaan persekitaran kuno, paleobiogeografi dan sebagainya.

Pencirian fosil dilakukan terhadap pelbagai bentuk dan morfologi bahagian keras hidupan yang terawet dalam batuan sedimen. Proses pencirian bermula dari detik pencarian fosil hinggalah fosil selesai diperihalkan. Fosil sememangnya mempunyai banyak kepentingan saintifik. Antara nilai saintifik fosil tersebut adalah:

  • Fosil sebagai penunjuk usia
  • Fosil sebagai penunjuk paleoiklim
  • Fosil sebagai penunjuk paleosikataran
  • Fosil sebagai rekod evolusi
  • Fosil sebagai rekod kemandirian spesis
  • Individu fosil sebagai spesimen rujukan
Beberapa penemuan fosil moluska Trias pernah dilaporkan di Semenanjung Malaysia oleh pengkaji-pengkaji dari Jepun dan British di Kelantan, Pahang, N. Sembilan, Johor, Kedah dan Perak. Sayangnya, kebanyakan lokaliti berfosil seperti yang ditemui oleh pengkaji-pengkaji terdahulu sepatutnya direkodkan dan dijadikan sebagai lokaliti tip/kajian tetapi sebahagiannya lenyap akibat aktiviti manusia untuk pembangunan atau terus terabai disebabkan tiada kesedaran tentang nilai warisan fosil. Selain itu selepas negara kita mencapai kemerdekaan, banyak hasil-hasil kajian mereka di Tanah Melayu ketika itu dibawa pulang ke negara asal mereka untuk dijadikan kajian lanjutan. Suatu usaha perlu diwujudkan bagi memberi kesedaran betapa negara kita ini juga mempunyai nilai warisan fosil yang tinggi nilainya di samping turut menghargainya.

No comments:

Post a Comment