Tuesday, September 6, 2011

Strata enapan marin Formasi Semantan, Kg. Sempadan, Temerloh


Singkapan strata enapan marin kepunyaan Formasi Semantan ini dicerap di Kg. Sempadan, Temerloh, berhampiran sempadan Daerah Bentong dan Temerloh melalui jalan lama Temerloh-Karak. Tiada sebarang fosil ditemui pada singkapan batuan tersebut (agak mengecewakan!).


Litologi utama bagi strata batuan tersebut adalah terdiri daripada turutan/jujukan perlapisan antara syal berkarbon, batu lodak, batu lumpur dan tuf riolit. Perlapisan batuan telah bermiring menghala ke arah tenggara dengan perbagai darjah kemiringan.


Lapisan syal berkarbon yang menindih lapisan batuan tuf riolit dan ditindih oleh batu lumpur.


Batuan tuf riolit yang telah terluluhawa sepenuhnya.


Lapisan batu lumpur yang mempamerkan struktur tertentu akibat kandungan iron.


Kawasan Temerloh terutamanya di kawasan Mentakab sememangnya mempunyai banyak lokaliti-lokaliti berfosil. Jaafar Ahmad telah menjalankan pemetaan geologi di kawasan tersebut dan telah memperkenalkan Formasi Semantan (enapan laut dalam) dan Formasi Kaling (enapan laut cetek) yang masih digunapakai sehingga kini. Menurutnya, Formasi Semantan adalah dianggarkan berusia Trias Tengah hingga Trias Atas, manakala Formasi Kaling pula adalah berusia Trias Atas berdasarkan bukti-bukti paleontologi. Dari kajian terkini, berdasarkan penemuan fosil-fosil terbaru serta maklumat paleontologi terbaru, didapati bahawa Formasi Kaling mungkin terbatas sehingga usia Anisian, Trias Tengah sahaja, manakala Formasi Semantan mungkin berlangsungan dari usia Anisian, Trias Tengah hingga Karnian, Trias Atas. Penulis amat menginginkan ruang /kesempatan untuk menjejak semula kesemua lokaliti-lokaliti berfosil di kawasan tersebut untuk didokumentasikan semula.



1 comment: